Bina Rumah Sendiri Guna KWSP, Syarat Yang Perlu Anda Tahu.

Tahukah anda dengan pengeluaran akaun 2 KWSP, anda boleh membina rumah sendiri. Pengeluaran  ini  membolehkan  ahli  mengeluarkan simpanan  Akaun  2  untuk  membiayai  pembinaan  sebuah  rumah. Ini membolehkan ahli memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah sebagai tempat perlindungan apabila bersara.

Anda dikira layak memohon jika anda ahli bertaraf Warganegara Malaysia atau Bukan Warganegara. Anda juga merupakan ahli yang belum mencapai umur 55 tahun pada tarikh permohonan. Satu lagi kelayakan anda merupakan ahli masih mempunyai simpanan dalam Akaun 2 (minimum RM 500.00).

Sebelum anda ingin memohon pengeluaran KWSP untuk membina rumah sendiri, anda perlu tahu syarat-syaratnya.

7 Syarat Pengeluaran Yang Perlu Anda Tahu

1. Ahli membina sebuah rumah kediaman / rumah kampung di atas tanah milik sendiri atau milik suami / isteri;

ATAU Suami  /  isteri  ahli  membina  sebuah  rumah  /  rumah  kampung  di  atas  tanah  milik  ahli;

ATAU Ahli  membina  rumah panjang  (bagi  Sabah  &  Sarawak);

ATAU Ahli  membina  sebuah  rumah  di  atas  tanah  FELDA  atau  tanah  milik  agensi kerajaan lain yang diiktiraf, dengan syarat mendapat pengesahan daripada agensi tersebut untuk menentukan status pemilikan tanah.

Anda mestilah sudah mempunyai tanah milik sendiri. Tanah tersebut hendaklah berstatus tanah perumahan, bukan tanah kebun. Proses menukar status tanah dari tanah kebun kepada tanah perumahan biasanya mengambil masa 6 bulan.

Anda juga perlu mengenal pasti tanah anda berada dalam lokasi majlis perbandaran atau tidak, kerana ia akan memudahkan penyediaan dokumen nanti.

2. Pembiayaan pembinaan rumah melalui : Pinjaman perumahan daripada mana-mana institusi seperti berikut :-

• Institusi kewangan yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013

• Kerajaan Pusat / Negeri atau lain-lain agensi kewangan kerajaan

• Majikan ahli

• Koperasi / syarikat kerjasama yang berlesen (diluluskan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia)

• Syarikat Insurans berlesen yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia

• Pemberi pinjaman yang dibenarkan oleh KWSP;

ATAU

• Secara tunai

3. Ahli  telah  menandatangani  Surat  Perjanjian  Membina  Rumah  tidak  melebihi  tiga  (3)  tahun  dari  tarikh  permohonan diterima

4. Ahli tidak pernah membuat Pengeluaran Perumahan;

ATAU Ahli  telah  membuat  pengeluaran  untuk  membina  rumah  pertama  dan  telah  menjualnya  atau  berlaku  pelupusan pemilikan  dan  kemudian  membina  rumah  kedua.  Bukti  penjualan  /  pelupusan  pemilikan  rumah pertama  perlu dikemukakan

5. Kos membina rumah adalah amaun yang dinyatakan di dalam Surat Perjanjian Membina Rumah. Kos membeli tanah juga boleh diambil kira dengan syarat tarikh Perjanjian Jual Beli Tanah adalah dalam tempoh dua (2) tahun dari tarikh Perjanjian Membina Rumah

6. Ahli membeli tanah dan membina rumah di atasnya serentak secara pakej (tarikh perjanjian beli tanah dengan tarikh perjanjian bina rumah hendaklah dalam tempoh 6 bulan)

7. Ahli tidak layak memohon sekiranya :-

• Membeli tanah atau lot tapak rumah sahaja

• Mengubahsuai, membaiki atau membuat kerja-kerja tambahan kepada rumah yang sedia ada

• Mengambil pinjaman berbentuk Overdraf

• Membeli rumah ketiga

• Membeli rumah di luar negara

• Membina rumah bersama individu lain yang tiada pertalian suami-isteri.

Anda mesti mempunyai pelan rumah yang diluluskan. Ia sebenarnya bukan syarat dari KWSP. Tetapi, sebagai langkah berjaga-jaga, adalah tindakan yang bijak untuk sentiasa bersedia dengan pelan yang lengkap. Siapa tahu, tengah-tengah buat rumah, ada berlaku kesilapan atau kekurangan bajet. Pelan rumah yang ada boleh digunakan untuk membuat pinjaman bank untuk topup duit yang tidak cukup.

Selain itu, pelan rumah juga boleh digunakan untuk mendapatkan kelulusan dari pihak berkuasa tempatan (Sekiranya lokasi tanah anda berada dalam majlis perbandaran).