Bina Rumah Atas Tanah Sendiri. Ini Yang Perlu Anda Tahu.

Apabila harga rumah melambung, ramai yang mempunyai tanah sendiri mula bercadang membina tanah di atas tanah tersebut. Membina rumah kediaman di atas tanah sendiri merupakan impian setiap semua orang.

Kalau diikutkan dari segi kos memang banyak jimatnya berbanding membeli rumah kediaman yang telah siap. Akan tetapi, ramai yang tidak mengetahui selok-belok dalam merancang kediaman jenis ini sehingga boleh menyebabkan wang poket anda melayang sedikit demi sedikit sehingga melebihi kos yang sepatutnya. Masa ni tak boleh nak menyesal dah.

Kalau anda nak bina rumah atas tanah sendiri, anda boleh semak perkara-perkara berikut. Ini untuk mengelakkan  anda ditipu.

Perkara Asas Yang Perlu Anda Tahu Jika Ingin Bina Rumah Atas Tanah Sendiri

Geran Tanah – Geran amatlah diperlukan untuk mengenalpasti pemilikannya. Pastikan geran tanah tersebut tertera nama anda sebagai pemiliknya atau nama pasangan anda. Jika anda sudah berkahwin.

Selain daripada itu, semak kategori/kegunaan tanah contohnya, pertanian/bangunan kediaman/bangunan komersial. Keluasan tanah dan pelan tanah juga perlu diambilkira dalam menentukan keluasan dan rekabentuk kediaman anda.

Jika kategorinya adalah pertanian, terserah kepada anda untuk menukar syarat atau tidak, kerana apa jua perubahan yang anda lakukan pasti akan melibatkan kos dan pelbagai syarat yang perlu di penuhi.

Tidak semua tapak-tapak tanah lot yang diberi memenuhi syarat untuk kita ubah kategori pemilikannya. Jika perlu anda menukar status kepada bangunan kediaman, dalam hal ini, anda boleh buat sendiri atau guna khidmat perunding tanah ataupun peguam.

Keluasan tanah dan pelan tanah juga perlu diambilkira dalam menentukan keluasan dan rekabentuk kediaman anda.

Keadaan Tanah – Kalau kawasan tu semak samun, anda perlu membersihkan sendiri tanah dengan duit poket sendiri. Kalau tanah jenis tanah lembah/rendah, anda perlu menambun tanah terlebih dahulu dengan duit poket sendiri.

Pada kebiasaannya kontraktor cuma sediakan rumah sahaja. Namun anda boleh meminta kontraktor untuk buat kerja membersih dan menambun tanah dengan kos tambahan.

Kos menambun tanah ni boleh dimasukkan sekali dalam bajet bina rumah dengan syarat ianya ditulis dalam perjanjian dengan kontraktor, baru bank atau kerajaan akan kira kos tersebut.

Pelan Lakaran Rumah atau Pelan Lantai – Tak perlu pening-pening nak lukis cantik-cantik. Lukis yang ringkas cuma perlu nampak susunatur yang anda mahukan. Pelan tanah memainkan peranan penting dalam keluasan dan pelan susunatur rumah anda, mintalah pandangan daripada arkitek/pelukis pelan.

Anda juga perlu pandai memilih dan merekabentuk pelan susunatur rumah anda agar pelan tersebut memberi keselesaan kepada anda dan memudahkan untuk anda membuat tambahan struktur rumah pada masa depan.

Sekarang ni semua dihujung jari. Google je untuk dapat ilham pelan lakaran rumah idaman anda.

Bajet Anda – Anda bukan sekadar fikir bajet untuk bina rumah semata-mata. Ada beberapa bajet yang perlu anda fikirkan. bajet akan menentukan keluasan, rekabentuk dan spesifikasi rumah anda.

Biasanya, arkitek/ pelukis dan pelan/ kontraktor akan membuat anggaran harga berdasarkan keluasan sesebuah rumah. Kos penyediaan pelan lakaran rumah, bayaran kepada badan berkanun sehingga kelulusan pelan diperolehi dan bayaran untuk mendapatkan Sijil Kesiapan dan Pematuhan (CCC) anda perlu tanggung sendiri.

Ditambah pula apabila anda bina rumah anda menggunakan pinjaman bank atau kerajaan, anda perlu lantik peguam untuk urus penyediaan dokumen pinjaman. Dapatkan nasihat daripada arkitek/ pelukis, pelan/ kontraktor, peguam tentang anggaran bajet kewangan rumah idaman anda.

Spesifikasi – Tak ramai yang bertanya bab ni. Spesifiksai adalah bahan-bahan yang akan digunakan dalam membina rumah, contohnya penggunaan batu-bata samada bata simen atau bata merah untuk dinding rumah, rangka pintu dan tingkap samada kayu atau besi aluminum, kemasan lantai samada simen konkrit atau jubin seramik dan lain-lain.

Kadang-kadang arkitek/pelukis pelan memasukkan spesifikasi didalam pelan lakaran mereka tanpa disedari oleh pelanggan. Oleh itu, ramai di antara pelanggan merungut pasal spesifikasi yang mungkin ‘tak padan’ dengan bajet mereka.

Akibatnya, wujud konflik antara kontraktor dan pelanggan. Kontraktor menganggap kerja mereka betul manakala pelanggan tak berpuas hati dengan apa yang disediakan oleh kontraktor.

Namun jika anda masih ragu-ragu dengan semua di atas, anda boleh dapatkan khidmat dari ZMA Bina. Mereka pakar untuk membina rumah di atas tanah sendiri.